JIKA anda seorang yang gemarkan rasa pedas dengan citarasa Indonesia, apa kata cuba sendiri Ayam Gepuk Pak Gembus yang kini berada di sekitar Lembah Klang.
Sesuai dengan tagline “tentukan sendiri kepedasanmu”, pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang mereka inginkan.
“Mereka boleh pilih nak tahap lima, 10 atau 15. Bagi yang pertama kali nak cuba ayam gepuk ni, saya akan cadangkan mereka untuk mula dengan tahap 5 dahulu.
“Tetapi kalau mereka rasa kurang dan nak pedas lagi, boleh tambah kemudian. Setelah tahap kepedasan dipilih, barulah sambal itu akan disediakan,” kata pemilik Ayam Gepuk Pak Gembus Malaysia, Mohd Firdaus Abd Wahid.
Menurut Fidaus, 27, hidangan ayam gepuk ini memiliki persamaan dengan ayam penyet kerana ia dihidangkan bersama sambal, tauhu dan tempe goreng.
“Ramai pelanggan beranggapan ayam gepuk sama seperti ayam penyet. Sebenarnya rasa sambal ayam gepuk ini sangat berbeza dan ia memiliki rasa yang tersendiri.
“Sekali suap dah boleh rasa keenakannya. Malah, ramuan yang digunakan untuk perapan ayam juga tidak sama.
“Sekali pandang mungkin kelihatan seperti ayam goreng biasa tetapi tekstur ayam ini lebih lembut dan kulit ayamnya lebih garing. Aroma ayam itu sendiri pastinya membuatkan anda kecur air liur,” katanya.
Selain itu Firdaus memberitahu idea untuk membuka cawangan Ayam Gepuk Pak Gembus ke Malaysia tercetus ketika dia bersama beberapa rakannya bercuti di Jogjakarta tahun lalu.
“Ketika itu saya sedang bercuti di Indonesia dan saya cuba sendiri makanan di sana.
“Tetapi selepas mencuba ayam gepuk ini saya terus ‘jatuh cinta’ dengan keenakan rasa asli dan terfikir untuk membawa ia ke Malaysia.
“Alhamdulillah, sambutan masyarakat juga sangat menggalakkan di sini, katanya.
Alamat: Cawangan Ayam Gepuk Pak Gambus di Gombak, Selayang, Rasta TTDI dan Keramat.
Waktu operasi: 11 pagi – 10 malam
Nombor telefon: 0189632007
Publication: Mstar
Language: Bahasa Melayu
Source:
https://www.mstar.com.my/video/2018/11/13/ayam-gepuk